Sindrom lelaki malas bekerja semakin menjadi-jadi hari ini. Mungkin ada kaitan dengan pencapaian golongan wanita hari ini. Taraf pendidikan yang lebih tinggi telah menyaksikan peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga kerja dan pelbagai aktiviti perniagaan.
Ini bertambah rancak apabila, golongan hawa dilengkapkan dengan kemahiran dan pengetahuan yang sesuai bagi menjadikan mereka lebih berdaya saing dan serba boleh untuk menghadapi cabaran ekonomi.
Banyak terjadi kes, suami menjaga anak di rumah dan isteri bekerja. Golongan ini boleh dikatakan sebagai 'Suami sepenuh masa'. Namun demikian, keadaan menjadi tidak sihat apabila suami hanya makan dan tidur di rumah tanpa menghiraukan urusan kerja rumah dan anak-anak.
Jika berterusan, fungsi institusi keluarga akan terganggu. “Kembali kepada ajaran Islam, lelaki yang wajib mencari nafkah dan bukan sebaliknya. Isteri hanya membantu dan memberi sokongan kepada suami.’’
Perempuan terpaksa melibatkan diri untuk bekerja dan mencari rezeki. Kesannya, rumahtangga yang memerlukan seseorang untuk mengurus dan menjaga hal ehwalnya serta mendidik anak-anak tidak dapat dipenuhi. Malah, rumahtangga menjadi tidak terurus. Rumahtangga yang sepatutnya menjadi sumber kebahagiaan, pencetus kedamaian, tempat berehat dan berkumpul, kini bertukar menjadi punca masalah dan kacau bilau.
Justeru, harus dinyatakan bahawa hukum suami menjadi suri rumah adalah tidak digalakkan jika tidak diredhai oleh isteri. Suami hendaklah sentiasa berusaha dan mencuba untuk mencari pekerjaan dalam menafkahkan kepada isteri serta keluarganya sebaik mungkin.
-Askry-2019-